Jerayawara disampaikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran), Kementerian Kewangan, Awang Haji Roselan bin Haji Mohd Daud.
Dalam taklimatnya, Awang Haji Roselan menjelaskan, Skim SCP merupakan skim persaraan tambahan kepada Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) yang dilaksanakan pada masa ini.
Objektif utama Skim SCP ini tambahnya adalah untuk memastikan semua peserta Skim SCP yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, menerima bayaran pendapatan bulanan minimum (annuity) sebanyak BND150 setelah mencapai umur persaraan mandatori iaitu genap umur 60 tahun.
Melalui skim ini yang menjamin bayaran sebanyak BND150 dan dicampur dengan bayaran Pencen Tua (OAP) sebanyak BND250 yang dihulurkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada masa ini, para pesara akan menerima pendapatan bulanan minimum berjumlah keseluruhan sebanyak BND400.
SCP juga terangnya memberi pembayaran manfaat ‘survivorship’ bagi menjamin kesejahteraan tanggungan sekiranya peserta meninggal dunia sebelum bersara mandatori.
Seperti mana Skim TAP, semua rakyat dan penduduk tetap negara ini yang bekerja sama ada di sektor awam atau sektor swasta adalah dimestikan menyertai Skim SCP (mandatori).
Di samping itu, rakyat dan penduduk tetap negara ini yang bekerja di sektor informal juga dikehendaki menyertai Skim SCP ini. Pada peringkat awal, sektor informal adalah ditakrifkan sebagai individu yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini yang sudah berusia 18 tahun dan ke atas yang bekerja atau membuat perniagaan secara persendirian untuk mendapatkan pendapatan bagi menampung perbelanjaan atau untuk menyara ahli keluarga seperti nelayan, petani dan peniaga atau pengusaha kecil persendirian (self-employed).
Kelayakan seseorang itu untuk diperakui sebagai golongan informal adalah tertakluk kepada pertimbangan Lembaga SCP kemudian nanti.
Skim ini juga merupakan skim 'defined contribution' yang menghendaki setiap peserta dan majikan membuat caruman yang perlu dibuat secara bulanan menurut undang-undang.
Kadar caruman bulanan yang ditetapkan pada waktu ini ialah minimum sebanyak 3.5 peratus daripada peserta dan 3.5 peratus daripada majikan mereka yang membawa jumlah caruman minimum keseluruhan sebanyak tujuh peratus daripada gaji bulanan peserta.
Kedua-dua caruman yang dibuat tersebut akan dibahagikan untuk dua tujuan utama skim iaitu enam peratus caruman tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun SCP peserta manakala satu peratus adalah untuk pembayaran bagi perlindungan ‘Survivorship’.
Menurut Awang Haji Roselan, SCP berdasarkan dengan buku kajian yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertajuk ‘Economic and Social Survey’ yang diterbitkan pada 2007 telah menyarankan perlunya mana-mana pengkajian sistem pencen kebangsaan mengambil kira empat prinsip utama.
SCP ini juga katanya dapat menjamin perpaduan melalui jaminan pendapatan untuk semua warga negara emas berumur 60 tahun dan ke atas pada kadar yang minimum di atas kadar kemiskinan atau kadar minimum yang diterima oleh masyarakat setempat selain dapat berdaya tahan dari aspek kewangan dan tidak akan membebankan kepada generasi yang akan datang.
Ianya juga dapat diperolehi dengan mudah oleh semua lapisan rakyat dan penduduk selain dapat dibiayai oleh semua yang berkepentingan khususnya para peserta skim dan pihak majikan sama ada syarikat-syarikat perniagaan mahupun pihak kerajaan.
Skim SCP juga dapat memenuhi prinsip-prinsip yang telah digariskan oleh PBB yang turut menyediakan beberapa manfaat dan keistimewaan-keistimewaannya yang tersendiri.
Secara ringkasnya Skim SCP merupakan skim persaraan menyeluruh yang bukan sahaja meliputi rakyat dan penduduk tetap negara ini yang bekerja di sektor awam dan swasta, tetapi setiap rakyat dan penduduk tetap negara ini yang juga mendapat sumber rezeki informal iaitu seperti petani, nelayan dan peniaga-peniaga kecil.
Di jerayawara ini, Awang Haji Roselan juga menjelaskan antara keistimewaan lain yang terdapat dalam SCP ini termasuk memastikan kesejahteraan tanggungan-tanggungan peserta turut diberikan jaminan tertentu sekiranya peserta meninggal dunia sebelum bersara, di mana skim ini juga memberikan manfaat perlindungan yang membolehkan pembayaran minimum sara hidup bulanan dihulurkan kepada balu dan anak-anak peserta bagi tempoh tertentu.
Selain itu skim tersebut juga mengambil kira beberapa faktor penting untuk kemampuan peserta dan majikan serta daya saing sektor swasta.
Kadar caruman yang ditetapkan ialah sekurang-kurangnya tujuh peratus iaitu 3.5 peratus daripada peserta dan 3.5 peratus lagi dari pihak majikan dan ini tertakluk kepada jumlah minimum dan maksimum yang ditetapkan. Jumlah minimum caruman ialah BND35 sebulan iaitu BND17.50 bagi setiap peserta dan majikan BND17.50.
Bagi peserta yang tidak mencapai pendapatan BND500, mereka akan membayar caruman di bawah BND17.50 dan kerajaan akan menambah untuk menjadikan BND17.50 dan majikan masih dikehendaki membayar caruman BND17.50 sebulan.
Supaya tidak membebankan kepada pihak majikan di sektor swasta, perkiraan jumlah caruman yang akan dibayar oleh mereka akan dihadkan kepada 3.5 peratus daripada BND2,800.00 gaji pekerja mereka sahaja walaupun gaji pekerja tersebut melebihi daripada BND2,800.00.
No comments:
Post a Comment